Tuesday, 9 July 2013

Ramadhan yang berbeza

Alhamdulillah, malam ni Umat Islam bakal melaksanakan ibadat solat terawih yang pertama bagi tahun ini. 1 Ramadhan secara rasminya telah tiba menjelang waktu maghrib. Aku sering dimaklumkan tentang ketibaan Bulan Ramdhan lagi tahun ini. Bersyukurlah kepada Allah kerana masih lagi memberi kesempatan kepada kita untuk beribadat dalam Bulan Ramadhan tahun ini. Besar ganjarannya jika kita meningkatkan amal ibadat dalam bulan yang penuh dengan barakah ini.

Tahun ini juga,sebenarnya tahun yang aku rasakan agak berbeza dengan sebelum ini. Pada tahun ini, Allah telah menjemput datuk di sebelah ibuku untuk menemuinya dan tidak akan kembali menemui kami lagi selamanya. Datuk yang mesra dipanggil wan oleh kami semua,pergi dalam keadaan mengejut, dan pada ketika itu juga, ibu aku sedang sarat mengandungkan adik perempuanku yang kini berusia sebulan lebih.

Aku kini secara rasminya, telah menjadi penduduk di Bangi, Selangor. Aku berpeluang melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Antarabangsa Selangor ( KUIS) yang tidak jauh dari rumah makngah aku di Bangi. Boleh berjalan kaki sahaja dari rumah makngah aku untuk ke KUIS. Biarpun, aku hanya mampu melanjutkan pelajaran ke kolej swasta, aku tetap bersyukur kerana Allah masih lagi memberikan kesempatan kepada hambaNya ini untuk sambung belajar. Tidak penting dimana kita belajar sebenarnya. Yang penting,bagaimana kita belajar dan berusaha mencapai kejayaan. Aku bakal mendaftar 11 Julai ini atau 2 Ramadhan.

Hanya Allah yang tahu betapa takutnya aku. Sebelum ini,aku tinggal di asrama,aku tahu macamana suasananya menyambut Ramadhan di asrama. Lain rasanya daripada berpuasa di rumah. Tahun ni, aku berpuasa dengan 'keluarga' baru. Aku tak tahu bagaimana rasanya. Tapi, alhamdulillah,daripada apa yang aku dengar, di sini,aku bakal didedahkan dengan pelbagai program islamik. Tambah-tambah di bulan mulia ini. Tak perlu bersusah-payah untuk menunaikan solat terawih di tempat lain.

Aku cuma mengharapkan sesuatu yang lebih baik terjadi di Ramadhan kali ini. Sebelum ini, aku sombong! Banyak sangat berdosa kepada Allah. Tak menghayati keindahan Ramadhan ini. Tahun ini, in shaa Allah aku berazam, untuk menyambut Ramadhan dengan penuh keinsafan. Aku mahu kembali kepada Allah. Aku mahu mencuba mendapatkan malam Lailatul Qadar.

Tadi,aku baru sahaja usai bersembang kosong dengan nenek tiriku,isteri kedua kepada arwah Wan aku yang tinggal bersama nenek dan makngah aku di Bangi. Besar betul pahala makngah aku kerana sanggup menyara hidup ibu dan ibu tirinya. Nenek tiri aku masih bersedih. Rindukan arwah Wan. Tapi,tadi dia tersenyum. Gembira betul mukanya.

'' Syukurlah Ramadhan dah mai. Berhentilah seksaan kubur dan sebagainya terhadap orang yang dah takdak. Syaitan pula dibelenggu!'' kata nenek.

Aku hanya mengangguk dan tersenyum. Betul katanya. Baik betul Allah. Allah betul-betul memuliakan bulan ini. Semuanya agar hambaNya dapat menjalani ibadat puasa tanpa sebarang gangguan daripada syaitan. Yang menjadi masalah,hanyalah hawa nafsu kita. Kita kena bijak mengawal hawa nafsu kita. Kita tak boleh tumpas! Berpuasa ini, bukan sekadar menahan rasa lapar dan dahaga, tapi segalanya,agar kita mampu menjadi hamba Allah yang lebih baik. Tak guna berpuasa,kalau tidak bersembahyang. Tak guna berpuasa jika mulut masih ligat mengumpat. Hayati Bulan Ramadhan ini dengan penuh keinsafan dan keberkatan. Banyakkan beribadah kepada Allah. Allah sudah bukakan jalan untuk kita, cuma menunggu kita melaluinya dengan betul atau tidak.

No comments:

Post a Comment